IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita kira-kira 4,800 liter cecair, disyaki minyak diesel, dalam operasi membanteras penyelewengan barang kawalan di sebuah stor di Tambun, dekat sini, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Perak kira-kira jam 7.30 pagi itu, turut disita ialah tong dram, beberapa dokumen dan sebuah lori tangki, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM40,320.

Menurut Pengarah KPDNHEP Perak Saifullizan Kamarul Zaman, serbuan itu adalah hasil maklumat risikan yang dijalankan Unit Risikan pihaknya selama lebih dua minggu.

Katanya, satu arahan untuk mengemukakan dokumen dan pengisytiharan stok barang kawalan berjadual telah dikeluarkan di bawah Seksyen 8  dan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada seorang lelaki yang disyaki penjaga premis.

Foto KPDNHEP Perak

“Hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati terdapat tiga tong dram dipenuhi cecair yang disyaki minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 600 liter yang diletakkan di dalam premis berkenaan.

“Sebuah lori yang mempunyai tangki mengandungi cecair disyaki minyak diesel dianggarkan berjumlah 4,200 liter dan peralatan untuk memindahkan minyak, turut ditemui berada di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifullizan berkata, sindiket itu juga dipercayai membeli minyak diesel berkenaan di stesen-stesen minyak sekitar Ipoh dan menyimpannya di stor berkenaan.

Foto KPDNHEP Perak

Menurutnya, seorang lelaki berusia 58 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“KPDNHEP memberikan amaran keras kepada semua peniaga dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini,” ujarnya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil, termasuk mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Foto KPDNHEP Perak